15/10/2026
SABAH ELECTRICITY PERKUKUH KERJASAMA DENGAN UPPM, DENGAR SUARA AKAR UMBI
BEAUFORT, 15 Oktober 2026 – Sabah Electricity terus memperkukuh kerjasama strategik bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Negeri Sabah menerusi Program Libat Urus Sabah Electricity Bersama UPPM yang berlangsung di The Gem Hotel, Beaufort.
Program ini menghimpunkan seramai 120 peserta melibatkan wakil UPPM dari sembilan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah empat kawasan Parlimen, iaitu Papar, Kimanis, Beaufort dan Sipitang, serta UPPM Ibu Pejabat.
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Ir. Ts. Mohd. Yaakob Hj. Jaafar, dalam ucapannya menekankan kepentingan kerjasama erat dengan pemimpin masyarakat bagi memahami keperluan pengguna, mendengar maklum balas serta meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan elektrik.
Turut hadir, Pengarah UPPM Negeri Sabah, Datuk Haji Awang Kadin bin Tang, yang menekankan kepentingan kerjasama berterusan dalam menangani isu di peringkat akar umbi.
Program turut diisi dengan sesi taklimat oleh lima wakil Sabah Electricity, iaitu Encik Ir. Yusmir Yusop, General Manager Operation & Maintenance (Distribution) , Encik Eric E. Dolinting Jr., Head Distribution Operation & Maintenance Western Region; Puan Brenda, Manager, Customer Experience & Revenue Assurance Zone; Puan Dayangku Noor Jehan binti Awang Othman, Eksekutif Health Safety & Environment (HSE); serta Ir. Ts. Hj. Mohd. Nizam Atailah, Senior Manager (New Marketing).
Antara pengisian taklimat termasuk status semasa bekalan elektrik, inisiatif penambahbaikan infrastruktur, perkhidmatan pengguna, keselamatan elektrik dan kecekapan tenaga.
Menerusi sesi dialog, wakil UPPM turut berpeluang menyuarakan pandangan dan maklum balas berkaitan kestabilan bekalan elektrik, tarif serta keperluan penambahbaikan perkhidmatan di kawasan masing-masing.
Sabah Electricity komited untuk terus memperkukuh hubungan dengan pemimpin masyarakat bagi memastikan setiap maklum balas diberi perhatian dalam usaha meningkatkan mutu dan kebolehpercayaan bekalan elektrik kepada pengguna.