04/06/2026
📢 NOTIS MAKLUMAN PENAMATAN KONTRAK PENGURUSAN
Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada seluruh warga Residensi Sungai Udang.
Setiap pertemuan pasti ada perpisahan, dan setiap amanah pasti ada penghujungnya.
Dengan penuh rasa syukur dan sedikit rasa sebak, kami ingin memaklumkan bahawa tempoh kontrak perkhidmatan pengurusan kami di Residensi Sungai Udang akan berakhir pada 30 Jun 2026.
Sepanjang hampir 3 tahun lebih bersama, pelbagai kenangan telah tercipta. Ada hari yang tenang, ada hari yang penuh cabaran. Ada aduan yang masuk pagi, petang dan malam, ada juga mesej “urgent” yang rupanya nak tanya bila lori sampah datang. Namun semua itu menjadi sebahagian daripada perjalanan yang mematangkan kami dan mengeratkan hubungan sesama komuniti.
Kami sedar tidak semua perkara yang dilakukan sempurna. Jika sepanjang tempoh perkhidmatan ini terdapat kekurangan, kesilapan atau perkara yang kurang menyenangkan, kami memohon maaf dengan setulus hati.
Mulai 1 Julai 2026, amanah untuk mengurus dan menjaga Residensi Sungai Udang akan diserahkan kepada pihak pengurusan baharu. Kami berharap seluruh komuniti dapat memberikan kerjasama dan sokongan yang sama seperti yang telah diberikan kepada kami selama ini. Setiap pengurusan yang datang membawa cabaran dan pendekatan tersendiri, namun matlamatnya tetap sama iaitu memastikan komuniti terus berkembang dengan baik.
Kepada semua penduduk, vendor, sukarelawan dan komuniti yang pernah bersama-sama menjayakan program, gotong-royong, komuniti bazaar, hari sukan dan pelbagai aktiviti lain, terima kasih kerana menjadi sebahagian daripada cerita kami di Residensi Sungai Udang.
Walaupun selepas ini kami bukan lagi pihak pengurusan di sini, kenangan tetap akan kekal. Mungkin selepas ini kami datang ke RSU bukan untuk menjawab aduan, tetapi sebagai tetamu yang singgah membeli air di bazaar atau menyapa kenalan lama.
Harapan kami mudah sahaja:
✨ Semoga jiran terus saling mengenali dan membantu.
✨ Semoga komuniti yang dibina bersama terus berkembang.
✨ Semoga anak-anak membesar dalam persekitaran yang harmoni dan selamat.
✨ Semoga Residensi Sungai Udang terus menjadi tempat yang dibanggakan oleh semua penduduk.
Terima kasih kerana pernah menerima kami sebagai sebahagian daripada komuniti ini.
Bukan selamat tinggal, cuma sampai jumpa lagi.
Daripada kami,
Pihak Pengurusan
Residensi Sungai Udang