08/10/2026
Profesor Ir. Dr. Norhana Arsad, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), telah diundang sebagai penceramah bagi Bengkel ASEAN Digital Outlook (ADO) 2027 Siri Kedua Tahun 2026 pada 7 Oktober 2026 (Rabu) yang dianjurkan oleh Kementerian Digital, Malaysia.
Bengkel yang berlangsung pada 6 dan 7 Oktober 2026 di Hotel Moxy Putrajaya ini menghimpunkan peserta dan pemegang taruh dari negara-negara ASEAN bagi berkongsi pengetahuan, pandangan dan perspektif berkaitan perkembangan digital serta transformasi teknologi di rantau ASEAN.
Kementerian Digital telah merancang penganjuran dua siri bengkel pada tahun 2026 sebagai sebahagian daripada persediaan ke arah pembangunan ASEAN Digital Outlook 2027.
Bengkel Siri Pertama telah dilaksanakan secara dalam talian pada 11 Jun 2026, manakala Bengkel Siri Kedua telah diadakan secara bersemuka di Putrajaya pada 6 hingga 7 Oktober 2026.
Sebagai sebahagian daripada sesi perkongsian ilmu, Prof. Ir. Dr. Norhana telah dijemput untuk menyampaikan pembentangan bertajuk “From Digital to Quantum: Malaysia’s Technology Transformation, National Readiness and ASEAN Positioning” pada 7 Oktober 2026.
Pembentangan tersebut mengetengahkan landskap teknologi Malaysia yang semakin berkembang, dengan menelusuri transformasi daripada teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) kepada teknologi baharu dan berimpak tinggi, khususnya teknologi kuantum. Sesi tersebut turut membincangkan tahap kesiapsiagaan Malaysia dari aspek pembangunan bakat, penyelidikan dan inovasi, penerimagunaan industri, infrastruktur serta dasar, di samping mengenal pasti peluang untuk memperkukuh kedudukan Malaysia dalam ekosistem digital dan teknologi ASEAN.
Pembentangan turut menekankan kepentingan pendekatan nasional yang terselaras dalam pembangunan teknologi baharu, serta pengukuhan kerjasama antara kerajaan, akademia dan industri. Kerjasama strategik ini amat penting bagi memastikan kemajuan teknologi bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan inovasi, malah turut memperkukuh daya tahan negara, kedaulatan digital serta pembangunan bakat yang bersedia menghadapi keperluan masa hadapan.
Jemputan ini mencerminkan sumbangan UKM yang semakin berkembang dalam perbincangan di peringkat nasional dan serantau berkaitan teknologi baharu, transformasi digital dan dasar teknologi. Dengan kepakaran dalam bidang kejuruteraan, fotonik, kecerdasan buatan dan teknologi kuantum, UKM terus menyokong usaha negara dalam membangunkan ekosistem teknologi yang berdaya tahan, inovatif dan berdaya saing.
Bengkel ADO 2027 ini turut menjadi platform penting bagi pemegang taruh ASEAN untuk berkongsi pengalaman, mengenal pasti peluang baharu serta memperkukuh kerjasama serantau ke arah pembentukan ASEAN yang lebih inklusif, berdaya saing dan maju dari segi digital serta teknologi.