23/08/2021
📜ILMU UNTUK PEMILIK RUMAH📜
KEPERLUAN UNTUK MENDAPATKAN KELULUSAN PELAN BAGI KERJA2 TAMBAHAN DAN PINDAAN
Khusus buat pemilik rumah bertanah samada jenis sesebuah, berkembar atau teres, jika anda berhasrat untuk membuat tambahan atau pindaan ke atas rumah sedia ada anda, pastikan ianya mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Kenapa ia sangat penting? Ada beberapa faktor:
1. Akta Jalan, Bangunan dan Parit 1974 menyatakan bahawa adalah menjadi satu kesalahan jika seseorang membuat apa2 kerja pembinaan tanpa mendapat kelulusan daripada PBT terlebih dahulu. Akibatnya, PBT boleh mengenakan penalti (maksima 20 kali ganda dari yuran proses pelan) dan berhak memberi notis untuk meroboh pembinaan tanpa kelulusan tersebut.
2. Ia juga bagi memastikan tambahan dan pindaan tersebut mematuhi Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984 serta peraturan-peraturan yang dikuatkuasa oleh PBT. Pematuhan ini penting kerana ia dapat memastikan aspek keselamatan, kesihatan dan keselesaan dipenuhi, bukan sahaja ke atas pemilik tetapi juga untuk jiran2 berdekatan dan kepentingan awam.
3. Bahagian yang ditambah dan dipinda tanpa kebenaran sebenarnya tidak dilindungi oleh insurans.
4. Jika pemilik berhasrat untuk menjual rumah, penilaian harga pasaran hanya akan mengambilkira pelan pindaan yang diluluskan sahaja. Jika tidak, penilaian hanya akan berdasarkan kepada pelan asal semata2. Bagi pembeli yang berhasrat membeli rumah siap sebegini, mereka hendaklah memastikan pelan pindaan diperolehi dari penjual, bagi mengelak kerumitan pada kemudian hari.
Pemilik yang berhasrat untuk membuat tambahan dan pindaan hendaklah mendapat khidmat Arkitek Berdaftar atau Pelukis Pelan Berdaftar. Senarai boleh diperolehi dalam laman website Lembaga Arkitek Malaysia atau boleh menyemak dengan PBT berkaitan untuk bantuan.
PINDAAN TELAH DIBUAT TANPA KEBENARAN. APA YANG BOLEH DILAKUKAN⁉️
Bagi yang telah buat tambahan dan pindaan, adakah masih boleh membuat pengemukaan pelan kepada PBT?
Jawapannya bergantung kepada PBT di kawasan berkenaan. Adakalanya PBT melancarkan program pemutihan bagi membantu pemilik untuk menjadikan pindaan tersebut sah mengikut peraturan.
Namun, samada program pemutihan ada ataupun tiada, sebaiknya pemilik yang telah melakukan tambahan dan pindaan mengemukakan pelan siapbina tersebut kepada PBT.
Caranya, dengan melantik Arkitek atau Pelukis Pelan Berdaftar, atau hadir ke PBT berdekatan untuk mendapatkan khidmat nasihat.
Biasanya PBT akan meminta perkara2 berikut:
1. Mengemukakan pelan siap bina yang disediakan oleh Arkitek atau Pelukis Pelan Berdaftar.
2. Membayar yuran proses pelan.
3. Membayar penalti. Ada sesetengah PBT mengenakan denda yang minimum sahaja untuk membantu pemilik.
4. Salinan hakmilik tanah.
5. Salinan bayaran cukai tanah dan cukai taksir terkini.
Moga perkongsian ilmu yang sedikit ini dapat memberi pencerahan kepada pemilik2 rumah. Moga bermanfaat.