13/08/2026
Kumpulan Disaster Risk Management, Disaster Preparedness and Prevention Centre (DPPC), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur telah mengadakan pertemuan bersama Pusat Kecemerlangan Pengurusan Bencana Malaysia atau Malaysian Centre of Excellence for Disaster Management (MyCEDM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pada 13.08.2026.
Pertemuan ini membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan mengenai pembangunan kapasiti dan pemerkasaan kompetensi dalam bidang pengurusan risiko bencana di Malaysia.
Antara perkara yang dibincangkan termasuk:
• Pembangunan latihan berasaskan kompetensi (competency-based training) untuk pengurus dan pengamal pengurusan bencana;
• Cadangan mekanisme penilaian dan pengiktirafan pakar rujuk dalam bidang kesiapsiagaan kecemasan dan bencana;
• Pembangunan silibus latihan yang lebih tersusun, seragam dan berasaskan keperluan sebenar di lapangan; dan
• Penerapan standard ISO berkaitan Disaster Risk Reduction (DRR), khususnya bagi memperkukuh kesiapsiagaan serta keupayaan pihak berkuasa tempatan.
Dalam konteks pengurusan bencana yang semakin kompleks, pembangunan kompetensi tidak seharusnya bergantung kepada penyampaian latihan semata-mata. Kandungan silibus, kelayakan tenaga pengajar, pengalaman lapangan serta kebolehan menterjemahkan pengetahuan kepada tindakan perlu dinilai melalui suatu standard yang jelas dan berwibawa.
Pengiktirafan kepakaran juga perlu mengambil kira sumbangan secara menyeluruh merangkumi penyelidikan, pembangunan modul, latihan, penglibatan bersama komuniti serta pengalaman dalam fasa pencegahan, kesiapsiagaan, tindak balas dan pemulihan bencana.
Delegasi DPPC UTM turut diberikan peluang melawat bilik simulasi Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART). Kemudahan simulasi mempunyai peranan penting dalam menghubungkan pengetahuan teori dengan proses membuat keputusan, koordinasi antara agensi dan keperluan operasi sebenar.
Pertemuan ini mencerminkan kepentingan kerjasama antara institusi akademik dengan agensi peneraju pengurusan bencana negara. Sinergi tersebut diperlukan bagi membangunkan sistem latihan, standard kompetensi dan ekosistem kepakaran yang lebih tersusun, berasaskan bukti serta selari dengan keperluan semasa.
DPPC UTM merakamkan penghargaan kepada pihak MyCEDM NADMA dan Pasukan SMART atas kesudian menerima kunjungan serta berkongsi pandangan dan pengalaman.
Semoga pertemuan ini menjadi asas kepada kesinambungan kerjasama strategik dalam memperkukuh kesiapsiagaan dan daya tahan bencana negara.
Admin
N