30/07/2026
Pada 30 Julai 2026 telah berlangsungnya Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) secara 3-in-1 bagi pelaksanaan Projek Kerja-Kerja Pembaikan Pasca Banjir Sistem Solar Hibrid di Sekolah Kebangsaan Bawang, Beluran, Sabah.
Majlis ini telah disempurnakan oleh Ir. Zuraidah Binti Muhamad, Pengarah Perunding Rekabentuk, Cawangan Kejuruteraan Elektrik (CKE), Jabatan Kerja Raya Malaysia. Turut hadir ialah wakil Kementerian Pelanggan, Puan Nur Hasyima Binti Ismail, Penolong Setiausaha Kanan, Cawangan Pengurusan Infrastruktur, Bahagian Pengurusan Aset, Kementerian Pendidikan Malaysia serta wakil kontraktor berjaya.
Objektif utama projek ini adalah untuk memulihkan sistem solar hibrid di Sekolah Kebangsaan Bawang yang mengalami kerosakan akibat banjir besar pada Februari 2026, sekali gus memastikan sekolah tersebut terus menerima bekalan elektrik yang stabil selama 24 jam. Projek ini melibatkan kerja-kerja penggantian komponen inverter dan bateri serta membaik pulih struktur sistem solar hibrid yang terjejas akibat banjir. Nilai kontrak projek adalah sebanyak RM783,703.00 dengan tempoh pelaksanaan selama lapan (8) bulan.
Sekalung tahniah diucapkan kepada BNR Technology Sdn. Bhd. atas kejayaan memperoleh kontrak ini. Semoga kontraktor yang dilantik dapat memberikan komitmen yang tinggi dalam memastikan pelaksanaan projek ini menepati spesifikasi, kualiti dan standard yang telah ditetapkan oleh JKR.
JKR selaku jabatan teknikal dan agensi pelaksana Kerajaan akan terus komited memastikan setiap projek dilaksanakan dengan cekap, berintegriti dan mengikut tempoh yang ditetapkan. Pelaksanaan projek ini mencerminkan usaha berterusan Kerajaan dalam memperkukuh infrastruktur luar bandar, memastikan kesinambungan bekalan elektrik di kawasan pedalaman serta menyokong penggunaan tenaga boleh baharu selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Jabatan Kerja Raya Malaysia ( Public Works Department )
Cawangan Kejuruteraan Elektrik