31/07/2026
Hujung minggu ini akan berlangsung RXZ Gathering 8.0 di Litar Permotoran Terengganu. Tapi tahukah kita sejarah menarik di sebalik pembinaannya?
Litar ini merupakan yang pertama di Malaysia dibina khusus untuk menangani isu gejala lumba haram. Kemuncak masalah ini berlaku sekitar tahun 2012 hingga 2014, terutamanya di Jalan Durian Burung dan Jalan Lapangan Terbang.
Pelbagai insiden timbul ketika itu, termasuk kes melarikan diri daripada pihak berkuasa, bersembunyi di surau, serta peningkatan kes kecurian motosikal di Terengganu.
Bagi mengatasi isu berkenaan, cadangan membina litar di Gong Badak telah diusulkan. Walaupun menerima bantahan dari pihak tertentu atas alasan membazir dan merosakkan generasi muda, pembinaannya tetap diteruskan pada Disember 2015.
Akhirnya pada tahun 2017, Litar Permotoran Terengganu siap sepenuhnya dengan kos RM12.7 juta.
Kompleks seluas 2.4 hektar ini mempunyai litar cub prix sepanjang 1.35km dan Sprint Test sejauh 0.95km.
Ia juga mampu menampung 1,500 penonton di tempat duduk dan 25,000 lagi di kawasan perkarangan.
Selepas dibuka, kadar aktiviti lumba haram di sekitar Kuala Terengganu turun sehingga 90 peratus.
Litar ini juga menjadi lokasi perhimpunan RXZ Gathering buat julung kalinya pada tahun 2017.
Semoga fasiliti ini terus membawa faedah dan kemajuan kepada negeri serta rakyat Terengganu.
📷 Teganukita, TRDI dan Pelbagai