23/10/2024
Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Dikurnia Gelaran Profesor Diraja
Sekembali Prof TS Syed Muhammad Naquib al-Attas (SMNA) dari luar negara setelah selesai pengajian PhDnya, beliau memberikan bimbingan intelektual kepada beberapa gerakan kebangkitan Islam di Malaysia seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Kebangsaan Pelajar2 Islam Malaysia (PKPIM) dan Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI). SMNA turut menyumbang seni khatnya dalam merekayasa logo ABIM dan ASASI.
Antara tokoh terkenal yang telah menerima bimbingan SMNA ialah PMX sendiri, Prof Emeritus Dato' Dr Osman Bakar, Al-Marhum Dato' Dr Siddiq Fadhil, Al-Marhum Dato' Fuad Hassan, Dato' Dr Tengku Azman Sharifaddeen, Prof. Emeritus Dr Shaharir Muhamad Zain, Prof Dato' Dr Wan Mohd Nor Wan Daud dan Prof Dato' Ir Dr Wan Ramli Wan Daud (tiada hubungan keluarga).
SMNA merupakan salah seorang tokoh yang sering dirujuk pendapatnya oleh ABIM dan pemikirannya mempengaruhi perjuangan ABIM sebagai sebuah gerakan intelektual Islam.
Keselarian pemikiran ini jelas melalui ucapan dan penulisan pemimpin-pemimpin ABIM seperti PMX (walaupun setelah beliau menyertai UMNO) dan Al-Marhum Dato' Dr Siddiq Fadhil.
Selain menekankan peranan Islam di Alam Melayu, ABIM memanfaatkan karya-karya SMNA seperti The Concept of Educational in Islam, A Framework for an Islamic Philosophy of Education dalam bidang pendidikan.
Gagasan PengIslaman atau Islamisasi ilmu oleh SNA yang didukung oleh ABIM dan ASASI diterjemah melalui penguasaan para intelek ABIM dan ASASI dengan penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) pada 1983.
Ini diikuti p**a dengan penubuhan Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) pada 1987 yang diterajui oleh SNA sendiri.
Seterusnya, gagasan PengIslaman/Islamisasi Ilmu ini dapat dilihat melalui usaha reformasi polisi Dasar Pendidikan Kebangsaan pada 1987 dibuat oleh para intelektual ABIM termasuk Prof Dato' Dr Wan Mohd Nor Wan Daud dalam buku yang bertajuk Reformasi Pendidikan di Malaysia.
Hasil usaha ini, Kementerian Pendidikan Malaysia memperkenalkan Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) dan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dengan penekanan terhadap pendidikan Agama dan Moral.
Pelaksanaan perancangan dalam menjayakan matlamat PengIslaman/Islamisasi Ilmu ini dinaungi oleh PMX, mantan Presiden ABIM, melalui jawatan yang dipegang olehnya dalam kerajaan setelah kemasukan beliau ke dalam UMNO pada 1982.
Sumber rujukan:
1. Aidil Farina Omar dan Azmul Fahimi Kamaruzaman. 2020 Konteks Histiografi Syed Muhammad Naquib al-Attas. Jurnal Tuah 1:24-40
2. Badlihisham Mohd Nasir. 2015. ABIM dan PAS dalam Gerakan Dakwah Islam Di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.