01/10/2026
Kunjungan Hormat dan Lawatan Kerja TNB Fuel Services ke Stesen Janakuasa Prai
4 Ogos 2026 | Selasa β Stesen Janakuasa Prai
TNB Fuel Services Sdn. Bhd. (TNBF) telah mengadakan Kunjungan Hormat dan Lawatan Kerja ke Stesen Janakuasa Prai pada 4 Ogos 2026 sebagai usaha memperkukuh hubungan strategik bersama pelanggan, di samping memastikan kesinambungan dan keandalan bekalan Distillate Fuel (DF) bagi menyokong operasi penjanaan elektrik.
Rombongan TNBF diketuai oleh Tn. Hj. Jamal bin Yusof, Pengarah Urusan TNB Fuel Services Sdn. Bhd., bersama Tn. Nizar bin Elias, Senior Manager Fuel Operation & Management, Tn. Nor Lizam, Manager Technical Service & Solution, Tn. Zahrol bin Poniran, Manager Technical Service & Solution, serta Tn. Harith Zaqwan Abd Malek, Executive Fuel Operation & Management.
Kunjungan ini telah disambut oleh Tn. Rosli bin Ashaari, Pengarah Urusan/Plant General Manager Stesen Janakuasa Prai, bersama Tn. Ir. Ts. Mohd Najib Roseli, Head of Operations, dan Tn. Muhammad Shahrul Izzat Johari, Engineer Operations.
Sesi lawatan dimulakan dengan perkongsian daripada pihak Stesen Janakuasa Prai berkenaan latar belakang stesen, fasiliti serta operasi penjanaan elektrik. Pihak TNBF turut menyampaikan taklimat berkaitan latar belakang syarikat, perkhidmatan dan operasi TNBF, termasuk prestasi dan jumlah penghantaran DF ke stesen-stesen janakuasa TNB serta khususnya ke Stesen Janakuasa Prai.
Sesi perbincangan turut memberi tumpuan kepada jaminan bekalan DF, maklum balas terhadap penghantaran terdahulu serta keperluan operasi pelanggan, di samping mendapatkan pandangan bagi memastikan perkhidmatan dan pengurusan bekalan bahan api terus memenuhi keperluan operasi Stesen Janakuasa Prai.
Sebagai sebahagian daripada lawatan, rombongan TNBF turut menjalankan pemeriksaan fasiliti penerimaan DF, meliputi laluan dan kemudahan unloading, sistem pam dan meter, aspek keselamatan di kawasan operasi dan tangki, serta keadaan keseluruhan fasiliti.
Sesi pertukaran cenderahati korporat antara kedua-dua pihak turut diadakan sebagai tanda penghargaan dan simbolik hubungan kerjasama yang terus diperkukuh.
Sebagai salah satu pelanggan utama TNBF, Stesen Janakuasa Prai memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan bahan api TNB. TNBF kekal komited dalam memastikan bekalan DF yang mencukupi, berterusan dan boleh dipercayai, di samping memberikan sokongan perkhidmatan yang cekap bagi memenuhi keperluan operasi pelanggan.
Lawatan ini mencerminkan komitmen TNBF dalam memperkukuh hubungan bersama pelanggan, meningkatkan kecekapan pengurusan rantaian bekalan bahan api serta memastikan kesiapsiagaan operasi, selaras dengan usaha menyokong penjanaan elektrik TNB yang stabil dan berterusan.
TNB Fuel Services merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Stesen Janakuasa Prai atas sambutan, kerjasama dan perkongsian yang diberikan sepanjang lawatan ini. Semoga kerjasama strategik yang terjalin terus diperkukuh demi kecemerlangan dan kesinambungan operasi bersama.